Monday 15 June 2015

JERANTUT TETAP DIHATI


Bandar Jerantut tidak asing bagi penulis kerana penulis dilahirkan dan dibesarkan di daerah ini. Walau bagaimanapun pada umur 13 tahun penulis telah bepindah ke Jengka.  Selepas itu kampung hanya dijengah setiap hari raya sahaja. Itupun masa ibubapa saudara masih ada lagi tetapi bandar Jerantut selalu juga dilawati jika penulis pulang ke kampung.  Kesempatan program Reunion pada 6 Jun 2015 telah diambil sepenuhnya untuk berkunjung ke Jerantut.



Seawal jam 7.00 pagi lagi penulis telah bertolak dari Kuala Lumpur ke bandar Jerantut untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat yang terpisah selama 35 tahun.  Alhamdulillah saya bersama isteri dan seorang anak telah sampai seperti yang dijadualkan pada jam 11.00 pagi.  Perjumpaan ini diadakan di Dewan Gemilang SMJ supaya nostalgia semasa sekolah dapat di imbaukan kembali. Saya diketemukan dengan sahabat-sahabat yang lama tidak bersua muka.  Bermacam-macam gelagat dapat dilihat semasa perjumpaan tersebut.  Ada yang susah untuk kenal dan ingat kerana saiz badan dan rupa paras yang amat jauh bezanya.  Makanan juga ditempah khas dari Pakcik Manap tukang masak asrama semasa kami tinggal di asrama dulu supaya kami dapat merasai masakan dari air tangannya. Pakcik manap sekarang telah berumur 75 tahun tetapi masih diberi kesihatan yang baik dan masih sihat, Alhamdulillah. Program berjalan lancar seperti yang dirancangkan oleh AJK yang dilantik. Program tamat pada pukul 3.00 petang.  Terima kasih AJK, anda semua terbaik kerana dapat menyatukan kami semua. 







Selepas program dan dari apa yang saya lihat perubahan ketara yang dapat dilihat pada sekolah SMJ ini adalah keadaan asrama dan sekolah yang lebih kemas dan teratur.  Saya sempat bersolat zohor disurau asrama yang boleh dikatakan selesa.  Tiada lagi bukit dibelakang asrama lelaki kerana kawasan dulunya kebun getah telah didirikan kem askar. Begitu juga tiada lagi kolah besar disebelah asrama lelaki yang dulunya untuk mandi dan membasuh pakaian kerana sekarang tiada lagi masalah air didaerah Jerantut.

Penulis sepatutnya pulang pada hari yang sama tetapi mengambil keputusan bermalam di Jerantut kerana tidak puas lagi berjumpa dengan sahabat yang menetap di sini. Kadar sewa hotel pun berpatutan dan dianggap murah lagi jika dibandingkan dengan tempat lain.  Pada sebelah malamnya pula penulis bersama sahabat-sahabat yang ada di Jerantut telah diberi layanan makan malam istimewa oleh saudara Nazri Mahmud.  Beliau cukup baik hati dan melayan kami dengan makanan yang sedap dan memuaskan.

Pada keesokkan hari 7 Jun 2015 selepas sarapan pagi penulis telah meninggalkan bandar Jerantut untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan rasa puas kerana nostalgia selepas 35 tahun dapat diimbau kembali.