Monday, 3 February 2014

TAMAN NEGARA KUALA TAHAN



Taman Negara Kuala Tahan adalah Kawasan Perlindungan rasmi yang pertama dan tertua di negara ini dan pada waktu dahulu dikenali sebagai King George V National Park. Taman negara Kuala Tahan ini yang diisytiharkan secara rasminya oleh Sultan Kelantan, Pahang dan Terengganu (sewaktu sambutan Jubli Perak King George) diwartakan bagi memelihara alam semulajadi kawasan ini. Taman ini dinamakan Taman Negara setelah negara mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.


Taman Negara Kuala Tahan adalah sebuah hutan hujan yang tertua di dunia yang dianggarkan berusia 130 juta tahun. Kekayaan dan kepelbagaian hidupan semulajadi di sini sangat menakjubkan dan menjadikannya salah satu eko-sistem yang paling rumit dan kaya di dunia.  Aktiviti paling popular di Taman Negara Kuala Tahan ini ialah bersampan di sungai dan meneroka laluan trek hutan. Laluan Kanopi yang tedapat di sini juga sungguh menarik bagi memberikan pelawat pemandangan jarak dekat aktiviti haiwan dan tumbuhan.


Pondok pemerhatian juga disediakan bagi keselesaan pelawat untuk memerhati hidupan liar di sini. Pondok kecil (Ran) yang dibina tinggi dari atas tanah membolehkan pelawat bermalam bagi memerhati hidupan liar di dalam habitat semulajadinya. Pelawat juga boleh meneroka gua, sama ada menggunakan bot atau pun berjalan kaki.

Daya tarikan lain boleh ditemui di Kuala Tahan (tempat utama Taman Negara di Pahang) termasuk laluan kanopi, Gua Telinga, dan Lata Berkoh. Pengunjung dapat menikmati keindahan hutan hujan tropika, kicauan burung, ataupun merentas hutan (contoh: Tenor Rintis) dan pemandangan sungai ketika melalui Sungai Tahan.

Semua pengunjung mesti mendapatkan kebenaran/permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara sebelum menjejakkan kaki ke Taman Negara. Terdapat banyak Motel/hostel/chalet serta hotel di taman Negara ini yang mana kadar penginapannya berbeza-beza.

Jika menaiki Bot untuk ke Taman Negara pengunjung perlu ke Jeti Kuala Tembeling.  Pada masa dahulu ia merupakan satu-satunya pintu masuk untuk ke Kuala Tahan. Buat masa ini cara termudah untuk ke Taman Negara adalah dengan kenderaan.  Sebaiknya kenderaan pacuan empat roda yang terus ke Kuala Tahan.  (sumber daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas)












No comments:

Post a Comment